Tuesday, December 30, 2008

Gambar Slide Majlis Konvokesyen PASTI Kawasan Sandakan 2008

Sorotan Program PASTI 2008 - Majlis Konvokesyen

Salah satu Program Tahunan yang dijalankan oleh PASTI Kawasan Sandakan ialah Majlis Konvokesyen PASTI. Program ini merupakan program yang sangat penting dan diberi keutamaan oleh pihak pengurusan PASTI Kawasan Sandakan.

Ini adalah kerana Majlis Konvokesyen ini adalah suatu pengiktirafan kepada semua pelajar PASTI PRA 2 yang telah berjaya menamatkan pelajaran di PASTI seluruh Sandakan termasuk Kinabatangan. Dalam majlis ini mereka telah menerima 'Sijil Konvokesyen' daripada PASTI Kawasan Sandakan.

Program ini juga diadakan bagi meraikan dan menyatakan penghargaan kepada semua ibu bapa yang selama ini memberi kepercayaan dan kerjasama yang jitu kepada PASTI bagi membekalkan pendidikan awal kepada anak-anak mereka.

Syabas dan tahniah kepada semua pihak yang selama ini memberikan komitmen dan usaha yang gigih serta pengorbanan yang tinggi bagi memperkasakan lagi PASTI. Semoga kita semua diberkati oleh Allah atas usaha yang dilakukan.

Majlis Konvokesyen kali ini telah dirasmikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Sabah iaitu YBhg. Sdr Anuar Bin Ali.

Berikut butiran ringkas Majlis Konvokesyen PASTI 2008;

Tarikh : 02 November 2008
Masa : 8.00 pagi
Tempat : Ballroom Sabah Hotel, Sandakan
Pengarah Program : Ust Hj Kamarudin Wahab
Perasmi : Sdr Anuar Ali (Ketua Pemuda PAS Sabah)
Penerima Sijil Konvokesyen : 152 orang

Bagi memeriahkan lagi majlis ini, pelajar-pelajar PASTI telah menunjukkan bakat dan kebolehan mereka melalui persembahan yang mereka adakan. Setiap PASTI daripada 7 buah PASTI di Sandakan telah membuat persembahan. Ada yang bernasyid, ada yang mempersembahkan sketsa dan ada yang menunjukkan bakat dalam dikir barat. Kelihatan para ibu bapa dan seluruh hadirin terhibur dengan persembahan mereka.

Dalam majlis ini juga pelbagai cenderahati dan hadiah telah disampaikan kepada penerima, antaranya ialah ;

1- Anugerah Murid Terbaik Pra 1 dan 2 (Setiap PASTI)
2- Anugerah Murid Terbaik Keseluruhan PASTI
3- Anugerah Terbaik UPSR (Bekas Pelajar PASTI)
4- Anugerah Ibu Bapa Prihatin (Setiap PASTI)
5- Anugerah Penghargaan Khidmat Guru (Semua Guru PASTI)

Alhamdulillah, secara keseluruhannya Majlis Konvokesyen kali ini berjalan dengan lancar dan penuh meriah. Kemeriahan ini jelas kelihatan dengan kehadiran para ibu bapa yang ramai sehingga memenuhi setiap ruang dewan hotel.

Pengajaran di Sebalik Hijrah Rasulullah S.A.W

Oleh : Najib Afif Arip
Mon Dec 29, 08 8:36:59 am MYT

"Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah."

Tanggal 1 Muharram merupakan detik yang bersejarah buat umat Islam keseluruhannya. Tarikh tersebut merupakan hari pertama dalam perkiraan tahun hijrah buat umat Islam. Menyingkap kembali sejarah peristiwa hijrah Rasul dan para sahabat, terkandung di dalamnya pengajaran dan hikmah buat perkembangan Islam itu sendiri. Peristiwa ini juga telah menyaksikan pengorbanan para sahabat yang cinta mereka tidak berbelah bahagi terhadap Rasulullah SAW.

Antaranya keberanian Saidina Ali r.a yang sanggup menggantikan Rasullullah SAW di tempat tidur baginda walaupun pada ketika itu orang-orang kafir Quraisy sedang berkawal di luar rumah bagi menangkap Rasullah SAW. Kesanggupan Saidina Ali menempa maut di tangan orang kafir Quraisy dengan menggantikan Rasullullah di tempat tidur baginda bagi menjayakan perancangan hijrah Rasulullah SAW menjadi bukti kecintaan beliau yang tidak berbelah bahagi kepada Rasulullah.

Peristiwa pengorbanan Saidina Ali ini merupakan secebis daripada peristiwa pengorbanan para sahabat. Banyak lagi kisah pengorbananan yang telah dilakukan oleh para sahabat demi Rasulullah yang tercinta. Begitulah para sahabat nabi yang cinta mereka bukan sekadar bermain di bibir bahkan dibuktikan melalui perbuatan dan tindakan mereka.

Berbicara tentang Hijrah Rasul, sebenarnya kita sedang membicarakan tentang sejarah. Apabila berbicara tentang sejarah, kita harus sedar bahawa sejarah sebenarnya merupakan bicara Allah kepada hamba-hambanya yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi mampu disedari melalui mata hati. Dengan erti kata lain peristiwa hijrah ini mengandungi hikmah yang harus diterokai sebagai pedoman buat generasi seterusnya. Sesungguhnya Allah tidak akan menjadikan sesuatu perkara secara sia-sia.

Persoalannya, adakah kita generasi kini menyedari hikamah dan pengajaran yang tersurat dan tersirat yang terkandung di dalam hijrah Nabi sebagai pedoman dalam kehidupan kita? Saban tahun kita meraikan sambutan 'Maal Hijrah', namun apakah ianya merupakan sambutan semata-mata? Apakah yang kita fahami tentang hijrah? Adakah hijrah sekadar perpindahan yang berbentuk fizikal semata-mata?

Persoalan ini harus kita rungkaikan supaya hikmah dan pengajaran di sebalik peristiwa hijrah Rasulullah SAW ke Madinah dapat difahami dan dihayati. Dari sudut bahasa, hijrah bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat atau berubah dari satu keadaan kepada satu keadaan lain. Dari sudut istilah pula, hijrah adalah meninggalkan sesuatu yang dilarang. Ini berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Habsyi, bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: ?Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah.? (Hadis riwayat Abu Dawud)

Hijrah bermaksud meninggalkan larangan Allah

Daripada kenyataan ini dapatlah kita fahami bahawa hijrah bukan sekadar berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain semata-mata tetapi hijrah juga ialah perpindahan dari suatu keadaan tidak baik kepada keadaan yang lebih baik. Contohnya, meninggalkan ajaran bertentangan dengan Islam dan kembali kepada ajaran Islam sebenar.

Hijrah Rasulullah S.A.W memberi iktibar kepada kita mengenai fungsi dan peranan kita sebagai umat Islam tidak terhenti setakat ibadat khusus semata-mata. Lebih luas daripada itu peranan kita adalah sebagai khalifah Allah di muka bumi. Di antara tugas-tugas sebagai khalifah adalah seperti yang dijelaskan oleh Al-Mawardi dalam kitabnya Al-Ahkam As-Sultaniah iaitu menjaga agama dan mentadbir dunia.

Dua perkara ini tidak mampu direalisasikan tanpa semangat jihad dalam diri kita. Jihad merupakan pengorabanan dari pelbagai aspek demi memastikan tertegaknya Islam di muka bumi ini. Melawan nafsu juga merupakan suatu jihad. Namun dalam konteks hari ini, semangat jihad sudah kian hilang di hati umat Islam. Umat Islam hari ini lebih mementingkan nafsu daripada kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya.

Umat Islam sesama sendiri berkelahi kerana pangkat, harta dan wanita. Adakalanya umat Islam sendiri sanggup berkomplot dengan golongan kuffar demi kepentingan tertentu. Sekiranya inilah perangai kita, apakah kita layak digelar sebagai khalifah Allah?

Marilah kita mencontohi para sahabat yang sanggup berkorban demi kepentingan Islam. Sesungguhnya Hirah tidak akan berjaya dilaksanakan tanpa jihad, perpaduan dan kecintaan terhadap Allah. Apa maknanya kita menyambut sambutan Maal Hijrah jika kita semakin jauh dengan Islam? Apakah ertinya kita menghayati sambutan Maal Hijrah. jika jihad masih disalah anggap dan menjadi satu istilah yang amat menakutkan. Apalah gunanya sambutan Maal Hijrah yang kita sambut jika perubahan yang ada hanyalah menunjukkan umat Islam bertambah lemah dan menjadi mangsa penindasan barat malah terus dihina dan dicerca dengan tuduhan sebagai pengganas dan pemecah-belah.

Seharusnya peristiwa hijrah telah mengajar kita bahawa perpaduan amat penting dalam kita membangunkan sesebuah negara. Cuba kita renungkan kembali bagaimana perpaduan yang telah terjalin anatara kaum Muhajirin dan Ansar di bawah bumbung Islam telah berjaya mambentuk khilafah Islamiyah. Dalam konteks kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia yang menyaksikan bangsa, kaum dan etnik, maka amat wajar umat Islam di Malaysia mempamerkan semangat toleransi dan kasih sayang selari dengan ajaran Islam yang amat menitik beratkan soal kedamaian sejagat dan kesejahteraan ummah.

Peristiwa hijrah juga memperlihatkan kepada kita komitmen Rasulullah sebagai seorang pemimpin dalam memastikan tertegaknya ummah yang beriman, bertaqwa, bersatu padu dan hormat menghormati, baik sesama mereka mahu pun orang bukan muslim. Inilah sikap yang perlu ada dalam diri seorang pemimpin.

Seorang pemimpin tidak sekadar membangunkan masyarakatnya dari sudut fizikal dan material semata-mata bahkan turut membangunkan jiwa masyarakatnya dengan mendekatkan mereka kepad Allah SWT. Sejarah telah mengajarkan kepada kita bagaimana pemimpin-pemimpin terdahulu di saat kegemilangan tamadun Islam adalah pemimpin yang menghormati golongan ulama dan sentiasa meminta nasihat daripada mereka sama ada urusan negara mahupun peribadi. Hal ini kerana golongan ulama merupakan golongan yang arif berkenaan soal agama, justeru demi memastikan pimpinan mereka tidak terkeluar dari landasan Islam, pemimpin-pemimpin tersebut sentiasa memastikan golongan ulama sentiasa di sisi mereka.

Sesungguhnya di sebalik peristiwa hijrah terkandung pelbagai lagi iktibar dan pengajaran yang dapat kita perolehi. Soalnya lagi sejauh mana kita benar-benar menghayati sambutan maal hijrah dalam memberikan kesan yang positif terhadap diri kita? Hijrah menuntut perubahan dari segala aspek ke arah kebaikan. Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa orang yang beruntung adalah mereka yang hari ini lebih baik dari semalam. Marilah sama-sama kita menjadi mereka yang beruntung.- azm

( Penulis adalah pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam, Univesiti Sains Islam Malaysia (USIM) )

Sumber : HarakahDaily.Net

Monday, December 22, 2008

Sorotan Program PASTI 2008 - Majlis Ihtifal


Pada 22 Jun 2008 yang lalu PASTI Kawasan Sandakan telah mengadakan Majlis Ihtifal PASTI 2008. Program Ihtifal yang telah berlangsung di Dewan SMK Agama, Sandakan itu merupakan julung-julung kalinya diadakan bagi peringkat PASTI Kawasan Sandakan.

Walaupun program ini kali pertama dianjurkan oleh PASTI Kawasan Sandakan, dengan kerjasama dan komitmen semua pihak, alhamdulillah ianya dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Dalam program ini lebih kurang 80 orang pelajar daripada seluruh 7 buah PASTI di Sandakan menunjukkan kebolehan dan potensi dalam kategori-kategori acara yang telah dilangsungkan.

Untuk rekod, sebanyak 5 acara mengikut kategori telah dibuat ‘pengujian’ atau dipertandingkan iaitu;

i- Hafazan ( lelaki dan perempuan)
ii- Azan Subuh (lelaki sahaja)
iii- Sajak (lelaki dan perempuan)
iv- Bercerita Kisah dari al-Quran (lelaki dan perempuan)
v- Nasyid (Berkumpulan)

Butiran ringkas program tersebut adalah seperti berikut;

Tarikh : 22 Jun 2008
Masa : 7.30 pagi hingga 12.00 tengahari
Tempat : Dewan SMK Agama, Sandakan
Pengarah Program : Ust Mujahidin Mat Yasin
Johan Keseluruhan : PASTI Khalid al-Walid, Kg Tinusa 2.

Diharapkan usaha seumpama iini dapat meningkatkan kecemerlangan anak-anak kita bukan sahaja dalam bidang akedamiktetapi dapat mencungkil serta mengasah bakat mereka dalam bidang-bidang tertentu dan sekaligus memberi nilai tambah dalam kualiti Pendidikan di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI).

Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua guru-guru PASTI dan ibu bapa yang telah banyak memberikan dorongan dan motivasi kepada anak-anak serta kerjasama dalam usaha membangunkan PASTI selama ini.

Friday, December 12, 2008

Sorotan Program PASTI 2008- Sukaneka Tahunan

Pendidikan di PASTI bukan hanya mementingkan kecemerlangan kurikulum semata-mata, bahkan merangkumi semua aspek pembelajaran dan aktiviti yang mampu meningkatkan potensi diri seseorang pelajar.

Justeru, dengan penuh rasa tanggungjawab dan komitmen pihak pengurusan PASTI merangka, merancang dan melaksanakan program-program bagi tujuan memantapkan potensi diri pelajar.

Sukaneka merupakan salah satu program tahunan yang dilaksanakan oleh PASTI Kawasan Sandakan. Kejohanan tahunan ini merangkumi semua 7 buah PASTI yang ada di Sandakan di samping turut disertai oleh PASTI Darul Ulum, Kinabatangan.

Butiran ringkas Sukaneka Tahunan PASTI 2008 yang telah dilaksanakan adalah seperti berikut ;

Tarikh : 13 April 2008
Masa : 7.00 pagi – 12.00 tengahari
Tempat: Padang Bandaran, Sandakan
Penyertaan : 8 buah PASTI
Pengarah Program : Sdr Shamsul Rizal Bin Zulfatmi
Johan Acara Perbarisan : PASTI Saidina Uthman & PASTI Saidina Ali Abi Talib
Johan Keseluruhan: PASTI Saidina Umar al-Khattab
Acara yang dipertandingkan : i. Lari 4 X 50M – berganti-ganti
ii. Lari dalam karung
iii. Lari berpasangan ikat kaki
iv. Isi air dalam botol
v. Tarik bola guna gelung
vi. Tarik tali

Bagi memeriahkan lagi temasya Sukaneka Tahunan ini, pihak PASTI juga menyediakan acara-acara pertandingan untuk ibu bapa.

Selain itu pertandingan melukis dan mewarna terbuka mengikut kategori juga menambahkan seri pada hari sukaneka ini. Acara melukis dan mewarna ini mendapat sambutan yang baik daripada tadika-tadika, sekolah rendah dan menengah yang ada di daerah Sandakan. Bahkan yang menariknya turut disertai oleh peserta non-muslim dari sekolah SRJK (C).

Tahniah dan syabas kepada semua pemenang. Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga PASTI dan ibu bapa yang telah bertungkus lumus menjayakan program tahunan ini.




Gambar slide sekitar Program Sukaneka PASTI Kawasan Sandakan 2008

Sunday, December 7, 2008

Berkat Rezeki Kerana Sedekah


Kekayaan tidak membawa erti tanpa ada keberkatan. Dengan adanya keberkatan, harta/rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak dan mencukupi. Sebaliknya tanpa keberkatan akan dirasakan sempit dan susah meskipun banyak harta.

Dalam kisah Nabi, ada diceritakan Nabi Ayub ketika sedang mandi tiba-tiba Allah datangkan seekor belalang emas dan hinggap di lengannya. Baginda menepis-nepis dengan bajunya. Lantas Allah berfirman 'Bukankah Aku lakukan begitu supaya kamu menjadi lebih kaya?' Nabi Ayub mejawab 'Ya benar, demi keagunganMu apalah makna kekayaan tanpa keberkatanMu'.

Kisah ini menegaskan betapa pentingnya keberkatan dalam rezeki yang dikurniakan oleh Allah.Cara untuk mendapatkan keberkatan daripada Allah.

1. Bersyukur atas apa yang diberikan oleh Allah.

2. Belanjakan harta pada jalan yang diredhai oleh Allah.

3. Berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal

4. Keluarkan sedekah wajib (zakat) jika sampai nisab dan berikan sedekah sunat kepada orang miskin dan anak yatim.

5. Bersedekah kepada anak yatim/miskin kalau boleh setiap hari. (cari anak-anak yatim untuk diberikan). Insyallah akan diganti oleh Allah tanpa kita sedari.

6. Ikhlaskan pemberian/sedekah hanya kepada Allah bukan mengharapkan pujian dan sebagainya. Sedekah mulakan dengan keluarga sendiri dahulu selepas itu barulah kepada jiran dan orang-orang yang lebih jauh. Jangan anggap pemberian itu hak kita sebenarnya dalam harta kita ada hak mereka.

7. Hulurkan pemberian sunat secara rahsia - tetapi pemberian wajib(zakat)perlu diberi secara terangan sebagai menegakkan syiar Islam.

8. Konsep sedekah : berikan sesuatu yang kita sayangi. Cari harta dunia untuk dijadikan bekalan akhirat.

9. Cari harta dunia untuk dijadikan bekalan akhirat. (Dunia untuk akhirat- bukan dunia untuk dunia)

10. Amalan yang diberkati ialah hasil peluh sendiri dan juga melalui jualbeli (perniagaan). Menurut Nabi 9/10 (90%) daripada sumber rezeki ialah berpunca daripada perniagaan. Makan gaji mungkin 1/10 sahaja(10%).

Nabi Muhammad sendiri sebelum diutus menjadi rasul adalah seorang ahli perniagaan yang jujur, cekap dan amanah. Peniaga yang amanah akan dibangkitkan bersama para nabi dan rasul di akhirat kelak. Perniagaan merupakan amalan fardu kifayah.

Barang makanan orang Islam sepatutnya dikeluarkan sendiri oleh orang Islam. Kalau tidak ada menjalankan aktiviti ini, seluruh umat Islam berdosa.

11. Hulurkan bantuan kepada janda yang ketiadaan suami.Dalam satu hadith, Nabi menerangkan setiap awal pagi, semasa terbit matahari ada dua malaikat menyeru kepada manusia di bumi.

Yang satu menyeru 'Ya Tuhanku, kurniakanlah ganti kepada orang yang membelanjakan hartanya kerana Allah. Yang satu lagi menyeru 'Musnahkanlah orang yang menahan hartanya (lokek)

Orang yang bakhil tidak manfaatkan hartanya untuk dunia dan akhiratnya.

Menginfaqkan (Belanjakan) harta adalah berkat, sebaliknya menahannya adalah celaka.

Dalam hadith lain, nabi bersabda takutilah api neraka walaupun dengan sebelah biji tamar. Dan sabdanya lagi Sedekah itu penghapus dosa sebagaimana air memadam api.

Sedekah walaupun kecil tetapi amat berharga di sisi Allah. Dan digalakkan memberi sedekah pada awal pagi. Sekiranya dapat diamalkan perkara-perkara di atas, insyallah rezeki yang dikurniakan oleh Allah akan kekal walaupun telah digunakan. Allah akan membalas atau menggantikan apa yang telah dibelanjakan.

Amalkan ilmu yang ada, nanti Allah akan menambahkan ilmu lagi. Begitu juga harta - belanjakan harta yang ada, Allah akan tambahkan lagi dari sumber yang kita tidak ketahui.

Tuesday, December 2, 2008

Rayuan Sumbangan Dana Bangunan PASTI Sandakan

Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kawasan Sandakan memainkan peranan yang cukup besar kepada perkembangan sistem pendidikan Islam di bumi Sandakan.

PASTI telah terbukti melahirkan pelajar-pelajar yang tumbuh dan bertunas di hati dan jiwa mereka kecintaan kepada Islam. Mereka disemai dengan amalan-amalan dan penghayatan hidup sebagai seorang muslim.

Selain mampu cemerlang dalam bidang akedamik, kebanyakan pelajar PASTI telah menunjukkan akhlak dan sahsiah diri yang mulia.

Atas dasar tanggungjawab dan kepentingan sistem pendidikan Islam ini... maka Pihak Pengurusan PASTI Kawasan Sandakan terus menggiatkan usaha melebarkan sayap, memerah keringat dan harta benda untuk memastikan PASTI dapat ditubuhkan di segenap penjuru bumi Sandakan ini.
Inilah kerja keras yang dilakukan oleh pencinta-pencinta Islam di Sandakan.

Dengan azam dan tekad yang jitu, PASTI Kawasan Sandakan akan membuka 3 buah PASTI lagi di daerah Sandakan mulai sesi 2009. Ini bermakna PASTI memerlukan suntikan dana yang bukan sedikit bagi menjayakan komitmen ini.

Banyak wang ringgit yang diperlukan untuk menyediakan prasana bagi memenuhi keperluan pengajaran dan pembelajaran di PASTI baru ini.

Untuk makluman, 2 daripada 3 buah PASTI yang akan dibuka ini, premisnya adalah dibeli oleh PASTI Kawasan Sandakan iaitu

1- PASTI Zaid Bin Harithah - Kg Lupak Meluas, Karamunting (berharga RM7,000.00 tidak termasuk ubahsuai dan keceriaan)

2- PASTI Bilal Bin Rabbah - Flat MPS, Karamunting (berharga RM68,000.00 - pinjaman bank)


Gambar rumah yg akan dibeli utk dijadikan premis PASTI Zaid Bin Harithah

Gambar salah sebuah flat yang dalam proses pembelian

Bagi premis PASTI Zaid Bin Harithah, pembeliannya adalah secara tunai manakala bagi PASTI Bilal Bin Rabbah melalui pinjaman bank 90% daripada harga pembelian dan deposit 10% perlu dikeluarkan oleh pihak PASTI. Ini tidak termasuk duty stem dan kos guaman.

Ini bermakna pihak PASTI memerlukan perbelanjaan yang besar bagi tujuan pembangunan PASTI.


Justeru pihak pengurusan PASTI Kawasan Sandakan merayu daripada orang ramai dan mereka yang prihatin dengan kerja-kerja Islam, tampil memberi sumbangan dana bagi mengurangkan kesulitan yang dihadapi.

Segala sumbangan boleh diserahkan terus kepada guru-guru PASTI di PASTI yang berhampiran anda atau boleh disalurkan ke Akaun PASTI Kawasan Sandakan seperti berikut;


BANK ISLAM
PASTI KAWASAN SANDAKAN
No Akaun : 10016010061688


Kami juga mengalu-alukan sumbangan material yang lain seperti kerusi meja (yang sesuai utk kanak-kanak berusia 4,5,dan 6 tahun), cat dan seumpamanya.


Kami amat menghargai sumbangan anda semua. Semoga Allah memberikan ganjaran pahala dan menjadi amal soleh yang akan dibawa di akhirat kelak. InsyaAllah.