Tuesday, January 20, 2009

7 Formula Ibubapa Cemerlang

Oleh: Dr Danial Zainal Abidin


MENGUASAI ILMU DAN HIKMAT

Dalam surah Luqman ayat 12, Allah menjelaskan bahawa Luqman telah dikurniakan hikmat. Imam Ibn Kathir mentafsirkan hikmat sebagai ‘kefahaman, ilmu dan tadbir (iaitu pengurusan yang baik).’ Justeru ibu bapa perlu menguasai dan memahami ilmu, terutamanya ilmu agama berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah. Penguasaan ini perlu disusuli dengan pengurusan hidup yang baik. Tanpa ilmu dan kefahaman ibubapa menjadi seperti musafir yang berjalan tanpa peta.

MEMENTINGKAN IMAN DAN TAQWA

Berhubung dengan ini, Luqman menjelaskan, jika ada suatu benda yang kecil, seperti biji sawi, disembunyikan di langit, dalam bumi, dalam batu yang besar atau di tempat-tempat lain, Allah tetap mengetahuinya. Hal in disebut dalam surah Luqman ayat 16. Pendidikan Luqman ini bertujuan untuk melahirkan perasaan muraqabah, iaitu merasai bahawa Alah sentiasa melihat gelagat hamba-Nya di mana saja hamba itu berada. Jika perasaan ini menguasai hati seseorang, ia akan menjadi penasihat dan penyelamat bagi seseorang.


MEMELIHARA IBADAH

Antara ibadah yang perlu diutamakan ialah solat. Luqman menyuruh anaknya menegakkan solat. Menegakkan solat bermaksud bersolat secara berterusan dengan memelihara waktu-waktu dan tatacaranya, di samping mementingkan khusyuk ketika bersolat. Solat mempunyai pengaruh yang besar kepada anak-anak.


MEMELIHARA AKHLAK

Antara akhlak yang ditekankan dalam surah Luqman ialah bersikap tawadhuk dan tidak sombong ketika bergaul dengan manusia. Beliau juga mengingatkan anaknya agar bersederhana dalam hidup dan tidak meninggikan suara ketika bercakap. Akhlak yang mulia berkait rapat dengan iman seseorang.


BERSIKAP POSITIF DALAM UJIAN

Dalam konteks ini, surah Luqman ayat 17 mengingatkan anaknya kepentingan sabar dalam hidup. Sbar berkait rapat dengan sikap positif. Dengan penekanan ini anak-anak akan cekal mengharungi pancaroba dan liku-liku kehidupan. Anak-anak juga perlu diingatkan bahawa sabar adalah proses ke arah kejayaan.


MEMBINA KEMAHIRAN

Antara kemahiran yang dinyatakan dalam surah Luqman ialah komunikasi berkesan. Luqman menasihati anaknya secara terus tanpa rasa kekok. Ini menunjukkan bapa memainkan peranan yang amat penting dalam pendidikan anak-anak. Ketika memberi nasihat, Luqman menggunakan perumpamaan untuk memudahkan kefahaman. Ini menunjukkan Luqman mempunyai kemahiran berkomunikasi. Antara aspek penting yang perlu ada ketika berkomunikasi ialah kelembutan. Mengiku imam Ahmad dan Baihaqi, Nabi bersabda “Jika Allah menghendaki kebaikan bagi sesebuah keluarga diberikan sifat lemah lembut dalam keluarga itu”.


PEKA DAN BERPERANAN

Anak-anak perlu dididik agar berperanan dengan mengajak rakan-rakan mereka kepada makruf dan mencegah dari kemungkaran (ayat 17). Dengan nilai dan sikap ini, anak-anak tidak akan menjadi golongan yang terpengaruh sebaliknya menjadi golongan yang mempengaruhi.

Thursday, January 8, 2009

Nasyid - Doa Masuk Rumah

Pesanan untuk semua agar dijadikan amalan harian kita. Jadikan doa sebagai rutin harian agar diberi keberkatan dan perlindungan. InsyaAllah.

Sunday, January 4, 2009

Selamat Kembali ke PASTI

Ahlan wa sahlan... Selamat datang dan selamat memulakan pembelajaran di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) bagi adik-adik yang yang baru menjejakkan kaki di PASTI.

Dan selamat kembali bagi adik-adik Pra 1 (2008) bagi menyambung dan meneruskan pembelajaran di PASTI masing-masing.

Budayakan amalan berdoa sebelum memulakan pelajaran adik-adik.
Semoga diberkati oleh-Nya. InsyaAllah.