Sunday, April 26, 2009

Siapakah Kita?

Siapakah orang yang sombong?

Orang yang sombong adalah orang yang diberi penghidupan tapi tidak mahu sujud pada yang menjadikan kehidupan itu iaitu Allah Rabbul Alaamin, Tuhan sekalian alam. Maka bertasbihlah segala apa yang ada di bumi dan langit pada TuhanNya kecuali jin dan manusia yang sombong diri.
Siapakah orang yang telah mati hatinya?
Orang yang telah mati hatinya adalah orang yang diberi petunjuk melalui ayat-ayat Qur'an, Hadith dan cerita-cerita kebaikan namun merasa tidak ada apa-apa kesan di dalam jiwa untuk bertaubat.
Siapakah orang dungu kepala otaknya?
Orang yang dungu kepala otaknya adalah orang yang tidak mahu lakukan ibadat tapi menyangka bahawa Tuhan tidak akan menyiksanya dengan kelalaiannya itu dan sering merasa tenang dengan kemaksiatannya.
Siapakah orang yang kuat?
Orang yang kuat adalah orang yang dapat menahan kemarahannya ketika ia dalam kemarahan.
Siapakah orang yang lemah?
Orang yang lemah adalah orang yang melihat akan kemaksiatan di depan matanya tidak sedikit pun ada kebencian di dalam hatinya akan kemungkaran itu.
Siapakah orang yang bakhil?
Orang yang bakhil lagi kedekut adalah orang yang berat lidahnya untuk membaca selawat keatas junjungan Rasulullah SallAllahu Alaihi Wasallam.
Siapakah orang yang buta?
Orang yang buta adalah orang yang tidak mahu membaca dan meneliti akan kebesaran Al Qur'an dan tidak mahu mengambil pelajaran daripadanya.
Siapakah orang yang tuli?
Orang yang tuli adalah orang yang di beri nasihat dan pengajaran yang baik namun tidak diendahkannya.
Siapakah orang yang sibuk?
Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman Alaihissalaam.
Siapakah orang yang manis senyumannya?
Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang ditimpa musibah lalu dia berkata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil berkata,"Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.
Siapakah orang yang menangis airmata mutiara?
Orang yang menangis airmata mutiara adalah orang-orang yang sedang bersendiri lalu mengingat akan kebesaran Tuhan dan menyesal akan dosa-dosanya lalu mengalir airmatanya.
Siapakah orang yang kaya?
Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak tamak akan kenikmatan dunia yang sementara ini.
Siapakah orang yang miskin?
Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk-numpukkan harta.
Siapakah orang yang pandai?
Orang yang pandai adalah orang yang bersiap siap untuk hari kematiannya kerana dunia ini berusia pendek sedang akhirat kekal abadi.
Siapakah orang yang bodoh?
Orang yang bodoh adalah orang yang beriya-iya berusaha sekuat tenaga untuk dunianya sedangkan akhiratnya diabaikan.

Siapakah orang yang maju dalam hidupnya?
Orang yang maju dalam hidupnya adalah orang-orang yang senantiasa mempertingkat ilmu agamanya.
Siapakah orang-orang yang mundur hidupnya?
Orang yang mundur dalam hidupnya adalah orang yang tidak memperdulikan akan halal dan haramnya akan sesuatu perkara itu.
Siapakah orang yang gila itu?
Orang yang gila itu adalah orang yang tidak sembahyang kerana hanya dua syarat saja yang memperbolehkan akan seorang itu meninggalkan sembahyang, pertama sekiranya ia haid dan kedua ketika ia tidak siuman akalnya.
Siapakah orang yang rugi?
Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikkan.
Siapakah orang yang selalu ditipu?
Orang yang selalu di tipu adalah orang muda yang menyangka bahawa kematian itu berlaku hanya pada orang tua.
Siapakah orang yang paling cantik?
Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik.
Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?
Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal-amal kebaikan di mana kuburnya akan diperluas saujana mata memandang.
Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit?
Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikan lalu kuburnya menghimpitnya.
Siapakah orang yang mempunyai akal?
Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari siksa neraka.
Sama-sama kita renungkan...
Sumber : http://www.iluvislam.com
Editor : almusafirq8


Friday, April 17, 2009

Salam Takziah Buat Cikgu Siti Nurul Rahmah Atas Pemergian 2 org Adik Tercinta.


Salam Perjuangan.

Kita mulakan artikel kali ini dengan membaca Al-Fatihah untuk disedekahkan kepada 2 orang Allahyarham tersebut.

Al-Fatihah.....

Amin....moga kedua-dua Allahyarham dalam redha Allah.

Norafidah,17 dan Noradibah, 6 telah kembali ke rahmatullah pada 15 April 2009. Pemergian mereka bukan satu yang dijangkakan. Memanglah, ajal itu tidak mengenal tempat, usia, masa dan lain-lain. Malaikat maut akan menjalankan tugasnya sebaik sahaja menerima arahan daripada Rabbul Izzati.

Namun, pemergian dua beradik ini sebenarnya merupakan satu tragedi ngeri yang menyayat hati.

16 April 2009 yang lalu, kami rombongan PASTI Sandakan menziarahi Rahmah dan keluarganya. Di situ kami mendengar cerita yang lebih jelas daripada beliau.



Perjalanan ke rumah Rahmah


...jalan kaki ke rumah Rahmah

Ini dia rumah sahabat kita
(di rumah inilah kejadian berlaku)


Menurut Rahmah, mereka berdua dibunuh, ditikam sehingga menemui ajal. Diceritakan lagi, sewaktu kejadian sekitar 2 petang mereka hanya berdua yang berada di rumah. Ahli keluarga yang lain keluar rumah menjalankan tugas masing-masing. Norafidah,17 telah ditikam sebanyak 9 kali. Sementara Noradibah, 6 pula menerima tikaman sebanyak 13 kali.


Pak cik ini sedang berkongsi kesedihan dengan kami

Kakak mana yang tidak sedih menghadapi berita ini. Sambil teresak-esak, Rahmah menceritakan lagi bahawa perut adiknya, Noradibah terkeluar akibat tikaman tersebut.

Na'uzubillah.....Masya'Allah....Tak sanggup mendengarnya....

Sungguh kejam manusia...!!!

Sedih mendengar ceritanya.


Rahmah (tudung putih, baju hitam) sedang bercerita.
Ada kekuatan di wajah guru PASTI ini...bersabarlah.


Begitulah manusia, jika betul perhitungannya..maka menjadi mulialah dia mengalahkan Malaikat. Tetapi, jika silap anutannya..maka menjadi hinalah dia mengalahkan syaitan dan sekutunya.

Kes ini sedang dalam siasatan polis. Mudah-mudahan ada iktibarnya buat kita semua. Sementara, pada malamnya kami penyokong dan pendokong PAS mengadakan majlis bacaan Yasin dan Tahlil untuk dihadiahkan kepada kedua-dua Allahyarham.

Takziah buat Rahmah dan keluarga.

Sebagai penutupnya, marilah sekali lagi kita sedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarham Norafidah,17 dan Noradibah, 6.

Sekian.

Wednesday, April 15, 2009

HADITH : Berlaku Adil Kepada Anak-anak


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:


Takutlah akan Allah dan berlaku adillah terhadap anak-anakmu. "
Riwayat al-Bukhari dan Muslim


Huraian


i) Anak-anak adalah anugerah dan amanah Allah S.W.T yang telah diserahkan kepada ibubapa untuk dijaga dan dipelihara dengan membimbing mereka ke arah kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.


ii) Membeza-bezakan anak adalah faktor yang boleh merosakkan peribadi dan jiwa mereka kerana akan timbul perasaan hasad dengki hingga membuatkan mereka sering bergaduh dan hilang rasa kasih sayang sesama sendiri.


iii) Sewajarnya ibubapa menyamakan layanan antara anak-anak tanpa mengira lelaki atau perempuan, sempurna atau cacat, cantik atau tidak kerana semua perkara dari segi pakaian, makanan, pemberian, kasih-sayang dan sebagainya adalah hak mereka yang mesti dipenuhi dan diberi sama rata apatah lagi hubungan antara ibubapa dan anak adalah hubungan yang bersifat kewajipan dan tanggungjawab.


iv) Sesungguhnya ibubapa yang berlaku adil akan diberkan ganjaran syurga di akhirat kelak sebagaimana yang tersebut dalam hadith Rasulullah s.a.w, maksudnya:


" Sesiapa yang mempunyai anak perempuan, kemudian tidak dihinakan dan tidak mengutamakan anak lelaki dari anak perempuan, nescaya dia dimasukkan Allah ke dalam syurga." (Abu Daud & Hakim)




Sumber : Dipetik dari http://dakwah2u.blogspot.com/