Tuesday, June 29, 2010

YB Ahmad Izzat menyampaikan kuliah kepada guru PASTI

SANDAKAN, 25 JUN - Kunjungan YB Ahmad Izzat Shauki, Timbalan Speaker DUN Kedah ke Sandakan baru-baru ini telah dimanfaatkan dengan sepenuhnya oleh Majlis Guru PASTI Kawasan Sandakan dengan mengadakan majlis ilmu bersama beliau di sini di Pejabat Perhubungan PAS Kawasan Sandakan.


Seramai 15 orang guru PASTI yang mewakili 22 orang guru PASTI seluruh Sandakan telah menghadiri majlis yang julung-julung kalinya diadakan itu. YB Ahmad Izzat sempat mengutarakan beberapa saranan dan pesanan yang boleh dijadikan bekalan buat guru-guru yang hadir.


YB Ahmad Izzat mengingatkan guru-guru agar sentiasa ikhlas, bersungguh-sungguh dan mampu menjadi contoh tauladan kepada murid-murid sepanjang menjalankan amanah sebagai pendidik dan apabila berada di luar sekolah.


YB Ahmad Izzat juga mengingatkan guru-guru untuk mengamalkan 3 perkara yang menjadi asas kepada kekuatan seorang pejuang iaitu; solat fardu berjemaah, qiamullail dan membaca al-quran.


Sebelum majlis tersebut berakhir, YB Ahmad Izzat sudi menerima dan menjawab beberapa pertanyaan daripada guru-guru Sandakan yang hadir.