Wednesday, February 4, 2009

Guru Cemerlang Lahirkan Anak Didik Gemilang


Golongan ilmuwan adalah aset sangat berharga kepada agama dan negara. Peranan mereka menjadi tanggungjawab penting bagi menyebarluaskan ilmu-ilmu Allah untuk melahirkan generasi berilmu, beriman, berakhlak mulia dan berdaya saing.


Mendidik manusia berilmu bukan perkara mudah kerana memerlukan usaha berterusan. Oleh itu, sewajarnya guru diberi penghormatan tinggi. Hal ini seperti firman Allah bermaksud:

“Allah meninggikan darjat orang yang beriman antara kamu dan (Allah meninggikan) orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat.” (Surah al-Mujaadalah, ayat 11)

Guru hendaklah mendidik murid dengan penuh semangat dan kesungguhan. Mereka juga perlu mengemaskinikan teknik pengajaran dan cara penyampaian ilmu yang berkesan semoga apa yang diajarkan akan meresap ke dalam jiwa dan sanubari murid. Dengan itu, mereka mudah memahami dan menerima segala pelajaran yang dipelajari.

Guru hendaklah berusaha menyesuaikan dirinya dengan semua pelajar di sekolahnya. Hal ini supaya segala ajarannya akan memberi kesan kepada semua murid. Imam Ghazali dalam kitabnya ‘Ihya Ulumuddin’ menyatakan, bahawa sifat guru itu menjadi berkesan dalam jiwa murid melalui tiga peringkat:

-Ilmu pengetahuan (pengetahuan seseorang mengenai sesuatu konsep).

- Penerangan yang mendalam terhadap konsep itu.

- Perubahan yang timbul hasil daripada ilmu yang diperoleh.

Guru cemerlang akan melahirkan anak didik gemilang. Ia terbukti Rasulullah SAW sendiri ialah seorang pendidik cemerlang hingga lahirlah pada zamannya sahabat yang hebat seperti Khulafa' Ar-Rasyidin, Abdul Rahman bin A'uf, Abu Hurairah dan Saad bin Abi Waqas.

Golongan guru atau ilmuwan juga pernah disebut oleh Rasulullah seperti bintang di langit yang menjadi penunjuk jalan bagi menerangi kegelapan di darat dan lautan. Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik bermaksud:

“Sesungguhnya perumpamaan orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini adalah seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk bagi menerangi kegelapan sama ada di darat atau lautan. Apabila ia terbenam atau hilang, dikhuatiri akan hilang arah petunjuk.”

Pembentukan adab dan budi pekerti juga perlu menjadi tunggak kepada setiap pendidik. Ia bagi memastikan budaya hormat-menghormati, kasih-mengasihi sesama manusia dan segala sifat yang terpuji diamalkan oleh generasi muda masa kini dan pada masa akan datang. Ibnu Khaldun sangat menekankan soal adab dan dalam mendidik peribadi manusia, sebagaimana sabda Rasulullah bermaksud:

“Muliakanlah anak kamu dan perelokkanlah budi pekerti mereka.”

Bagi mengangkat martabat pendidikan, kita hendaklah menghormati guru dan meletakkan mereka setaraf dengan ilmuan serta ahli profesional lain. Ia sesuai dengan pendekatan Islam Hadhari bagi melahirkan insan cemerlang, gemilang dan terbilang.

Untuk itu, hak pendidik dan ilmuwan perlu diingati, Saidina Ali Abi Talib mengatakan, bahawa hak orang alim ada tujuh iaitu:

- Jangan banyak bertanya dan bertanya apabila dia bersedia untuk menjawab.

- Jangan halang jika dia hendak berdiri.

- Jangan buka rahsia di hadapannya.

- Jangan mengumpat orang di hadapannya.

- Hormatlah dia kerana Allah.

- Jangan duduk membelakanginya.

- Jika ada keperluan lain, utamakanlah keperluannya.

Adalah menjadi tanggungjawab kita menjaga kemuliaan dan mengangkat martabat guru, sejajar dengan apa yang disebut oleh Islam iaitu:

- Memberi layanan baik dan beradab terhadap guru.

- Mengenang jasa mereka yang mendidik anak-anak kita.

- Menyebarkan sejarah kecemerlangan ulama dan ilmuwan dalam peradaban Islam.

- Menerbitkan buku dan risalah yang membicarakan ketokohan guru dan kemuliaannya.

- Sentiasa mendoakan guru dan bekas guru agar ditempatkan bersama solehin.

Justeru, marilah kita bersatu hati bersama guru dan menggembleng tenaga bagi menyemai benih keimanan dan ketakwaan supaya terbentuk sebuah negara maju dan cemerlang yang mendapat keredhaan Allah.


.