Friday, February 27, 2009

PASTI Sandakan Mohon Bantuan Kewangan Bagi Menjayakan Temasya Kali Ke-18

SANDAKAN, – Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kawasan Sandakan, Sabah akan menganjurkan program Temasya Sukaneka Zon Sandakan Kali Ke-18 pada 29 Mac 2009 bertempat di Padang Bandaran MPS, Sandakan.

Temasya kali ini yang merupakan acara tahunan dan pada tahun ini meruapakan tahun ke-18 program ini dilaksanakan dan akan melibatkan seramai 300 orang pelajar Pasti di seluruh zon Sandakan termasuk kawasan Kinabatangan.

Sehubungan dengan itu, AJK Pengurusan Pasti Kawasan Sandakan memohon jasa baik orang ramai, individu atau syarikat korporat untuk menyalurkan sumbangan bagi menjayakan program tahunan tersebut agar dapat melahirkan pelajar-pelajar yang seimbang antara tuntutan kerohanian, akademik dan fizikal.

Mereka yang berminat untuk menyalurkan sumbangan bolehlah berbuat demikian ke nombor akaun PASTI KAWASAN SANDAKAN 10016010061688 (Bank Islam Malaysia Cawangan Kota Kinabalu, Sabah ) ataupun untuk maklumat lanjut boleh berhubung dengan Ishar Hamka Ismail di talian 019-8974798 dan Mustaman Mustain di talian 019-8735740, 089223260.
Terima kasih.

Thursday, February 26, 2009

Penubuhan JIBG PASTI Solahuddin al-Ayubi

Pada 15 Februari 2009 yang lalu PASTI Solahuddin al-Ayubi yang terletak di Taman Sejati, Sandakan telah mengadakan satu mesyuarat yang melibatkan guru dan ibu bapa pelajar PASTI tersebut.

Untuk rekod, PASTI Solahuddin al-Ayubi merupakan salah sebuah daripada 10 buah PASTI yang ada di Kawasan Sandakan.

Agenda utama mesyuarat tersebut adalah untuk menubuhkan Jemaah Ibubapa dan Guru atau ringkasnya JIBG.

Matlamat penubuhan JIBG ini adalah bertujuan mengeratkan hubungan dua hala di antara guru, ibu bapa dan pihak pengurusan PASTI di samping memberi manfaat yang besar kepada kebajikan dan kelancaran pengajaran dan pembelajaran anak-anak di PASTI.

Dengan adanya JIBG di setiap PASTI, ibu bapa diberi ruang secukupnya berkongsi idea dan pandangan, merancang aktiviti luar serta apa jua sumbangan bagi menjaga serta meningkatkan kualiti pendidikan di PASTI demi kecemerlangan anak-anak mereka sendiri.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi PASTI Kawasan Sandakan iaitu Sdr Ishar Hamka Ismail dan Mudir PASTI Solahuddin al-Ayubi sendiri iaitu Ust Mujahidin Mat Yasin.

Berikut senarai nama Ahli Jawatankuasa JIBG PASTI Solahuddin al-Ayubi yang telah dilantik dengan sebulat suara ;

Pengerusi
Encik Mus Effendy Shanat

Timbalan Pengerusi
Encik Ardjuna Marsidi

Setiausaha
Cik Madlinah Lansokong

Bendahari
Cik Juriah Salamun

AJK
Unit Teknikal
Encik Norizan Saari

Unit Kebajikan
Puan Salina Kuntal

Unit Kerohanian
Puan Kamsiah John

Unit Sukan
Puan Sukmawati Mansur

Unit Lawatan
Puan Noraini Oloth

Tahniah dan syabas...

Seterusnya dalam mesyuarat tersebut, Jawatankuasa JIBG yang dibentuk telah merancang aktiviti, merangka program untuk kepentingan pelajar dan seluruh warga PASTI Solahuddin al-Ayubi sepanjang sesi 2009 ini.

Antara aktiviti yang dirancang ialah ;

1-Mengadakan lawatan (pelajar) ke Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Sandakan

2- Mengadakan sambutan Hari Lahir bagi pelajar PASTI (setiap bulan)

3- Mengadakan Hari Bertemu Guru untuk mengenalpasti pencapaian / permasalahan anak di PASTI (Hari Sabtu, minggu ke 3 setiap bulan)

4- Mengadakan gotong royong keceriaan PASTI

5- Mengadakan Ceramah sempena Hari Kebesaran Islam

6- Mengadakan Kuliah Fardhu Ain (mingguan) untuk kaum ibu di PASTI

7- Mengadakan Sukaneka Antara JIBG seluruh PASTI di Sandakan

8- Mengadakan Majlis Berbuka Puasa (Ramadhan)

9- Mengadakan Jamuan Akhir Tahun.

Semoga segala aktiviti yang telah dirancang, dipermudahkan dan bakal dapat dilaksanakan dengan jayanya. InsyaAllah.

PASTI CEMERLANG ISLAM GEMILANG.

Tuesday, February 24, 2009

Tuesday, February 17, 2009

Luqmanul Hakim Dengan Telatah Manusia

Dalam sebuah riwayat menceritakan, pada suatu hari Luqman Hakim telah masuk ke dalam pasar dengan menaiki seekor himar, manakala anaknya mengikut dari belakang.

Melihat tingkah laku Luqman itu, setengah orang pun berkata...
"Lihat itu orang tua yang tidak bertimbang rasa, sedangkan anaknya dibiarkan berjalan kaki".

Setelah mendengarkan desas-desus dari orang ramai maka Luqman pun turun dari himarnya itu lalu diletakkan anaknya di atas himar itu. Melihat yang demikian, maka orang di passar itu berkata pula...
"Lihat orang tuanya berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menaiki himar itu, sungguh kurang adab anak itu".

Sebaik sahaja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang himar itu bersama-sama dengan anaknya. Kemudian orang ramai pula berkata lagi,
"Lihat itu dua orang menaiki seekor himar, adalah sungguh menyeksakan himar itu".

Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun dari himar itu, kemudian terdengar lagi suara orang berkata...
"Dua orang berjalan kaki, sedangkan himar itu tidak ditunggangi".

Dalam perjalanan mereka kedua beranak itu pulang ke rumah, Luqman Hakim telah menasihati anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, katanya...
"Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah S.W.T sahaja.

Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu."
Kemudian Luqman Hakim berpesan kepada anaknya, katanya,
"Wahai anakku, tuntutlah rezeki yang halal supaya kamu tidak menjadi fakir. Sesungguhnya tiadalah orang fakir itu melainkan tertimpa kepadanya tiga perkara iaitu
1- Tipis keyakinannya (iman) tentang agamanya
2- Lemah akalnya (mudah tertipu dan diperdayai orang)
3- Hilang kemuliaan hatinya (keperibadiannya)

Dan lebih celaka lagi daripada tiga perkara itu ialah orang-orang yang suka merendah-rendahkan dan meringan-ringankannya".

Monday, February 9, 2009

Tahniah Buat Warga PASTI Zaid Bin Harithah


Setinggi penghargaan dan tahniah buat mudir, guru, ibu bapa dan seluruh warga PASTI Zaid Bin Harithah kerana telah berjaya melaksanakan program gotong royong.


Semangat 'gotong royong' seumpama ini sudah mendasari dan diterjemahkan dalam kebanyakan program PASTI dan program-program amal yang lain. Di dalamnya mengandungi hikmah yang cukup besar yang mampu menzahirkan lagi semangat kekitaan dan mahabbah khususnya buat seluruh warga PASTI.


Namun dalam program kali ini ramai di kalangan AJK Pengurusan PASTI Kawasan Sandakan tidak dapat turun padang disebabkan halangan dan permasalahan yang tidak dapat dielakkan.


Mohon maaf kami hulurkan pada Mudir PASTI Zaid Bin Harithah yang agak kecewa dengan penyertaan saf AJK PASTI Kawasan Sandakan dalam program gotong royong ini.


Untuk membaca artikel penuh, suara hati dan gambar-gambar sekitar program gotong-royong tersebut, sila kunjungi blog Mudir PASTI Zaid Bin Harithah iaitu Sdr Nasharudin Abdullah di ;





Wednesday, February 4, 2009

Guru Cemerlang Lahirkan Anak Didik Gemilang


Golongan ilmuwan adalah aset sangat berharga kepada agama dan negara. Peranan mereka menjadi tanggungjawab penting bagi menyebarluaskan ilmu-ilmu Allah untuk melahirkan generasi berilmu, beriman, berakhlak mulia dan berdaya saing.


Mendidik manusia berilmu bukan perkara mudah kerana memerlukan usaha berterusan. Oleh itu, sewajarnya guru diberi penghormatan tinggi. Hal ini seperti firman Allah bermaksud:

“Allah meninggikan darjat orang yang beriman antara kamu dan (Allah meninggikan) orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat.” (Surah al-Mujaadalah, ayat 11)

Guru hendaklah mendidik murid dengan penuh semangat dan kesungguhan. Mereka juga perlu mengemaskinikan teknik pengajaran dan cara penyampaian ilmu yang berkesan semoga apa yang diajarkan akan meresap ke dalam jiwa dan sanubari murid. Dengan itu, mereka mudah memahami dan menerima segala pelajaran yang dipelajari.

Guru hendaklah berusaha menyesuaikan dirinya dengan semua pelajar di sekolahnya. Hal ini supaya segala ajarannya akan memberi kesan kepada semua murid. Imam Ghazali dalam kitabnya ‘Ihya Ulumuddin’ menyatakan, bahawa sifat guru itu menjadi berkesan dalam jiwa murid melalui tiga peringkat:

-Ilmu pengetahuan (pengetahuan seseorang mengenai sesuatu konsep).

- Penerangan yang mendalam terhadap konsep itu.

- Perubahan yang timbul hasil daripada ilmu yang diperoleh.

Guru cemerlang akan melahirkan anak didik gemilang. Ia terbukti Rasulullah SAW sendiri ialah seorang pendidik cemerlang hingga lahirlah pada zamannya sahabat yang hebat seperti Khulafa' Ar-Rasyidin, Abdul Rahman bin A'uf, Abu Hurairah dan Saad bin Abi Waqas.

Golongan guru atau ilmuwan juga pernah disebut oleh Rasulullah seperti bintang di langit yang menjadi penunjuk jalan bagi menerangi kegelapan di darat dan lautan. Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik bermaksud:

“Sesungguhnya perumpamaan orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini adalah seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk bagi menerangi kegelapan sama ada di darat atau lautan. Apabila ia terbenam atau hilang, dikhuatiri akan hilang arah petunjuk.”

Pembentukan adab dan budi pekerti juga perlu menjadi tunggak kepada setiap pendidik. Ia bagi memastikan budaya hormat-menghormati, kasih-mengasihi sesama manusia dan segala sifat yang terpuji diamalkan oleh generasi muda masa kini dan pada masa akan datang. Ibnu Khaldun sangat menekankan soal adab dan dalam mendidik peribadi manusia, sebagaimana sabda Rasulullah bermaksud:

“Muliakanlah anak kamu dan perelokkanlah budi pekerti mereka.”

Bagi mengangkat martabat pendidikan, kita hendaklah menghormati guru dan meletakkan mereka setaraf dengan ilmuan serta ahli profesional lain. Ia sesuai dengan pendekatan Islam Hadhari bagi melahirkan insan cemerlang, gemilang dan terbilang.

Untuk itu, hak pendidik dan ilmuwan perlu diingati, Saidina Ali Abi Talib mengatakan, bahawa hak orang alim ada tujuh iaitu:

- Jangan banyak bertanya dan bertanya apabila dia bersedia untuk menjawab.

- Jangan halang jika dia hendak berdiri.

- Jangan buka rahsia di hadapannya.

- Jangan mengumpat orang di hadapannya.

- Hormatlah dia kerana Allah.

- Jangan duduk membelakanginya.

- Jika ada keperluan lain, utamakanlah keperluannya.

Adalah menjadi tanggungjawab kita menjaga kemuliaan dan mengangkat martabat guru, sejajar dengan apa yang disebut oleh Islam iaitu:

- Memberi layanan baik dan beradab terhadap guru.

- Mengenang jasa mereka yang mendidik anak-anak kita.

- Menyebarkan sejarah kecemerlangan ulama dan ilmuwan dalam peradaban Islam.

- Menerbitkan buku dan risalah yang membicarakan ketokohan guru dan kemuliaannya.

- Sentiasa mendoakan guru dan bekas guru agar ditempatkan bersama solehin.

Justeru, marilah kita bersatu hati bersama guru dan menggembleng tenaga bagi menyemai benih keimanan dan ketakwaan supaya terbentuk sebuah negara maju dan cemerlang yang mendapat keredhaan Allah.


.