Monday, February 9, 2009

Tahniah Buat Warga PASTI Zaid Bin Harithah


Setinggi penghargaan dan tahniah buat mudir, guru, ibu bapa dan seluruh warga PASTI Zaid Bin Harithah kerana telah berjaya melaksanakan program gotong royong.


Semangat 'gotong royong' seumpama ini sudah mendasari dan diterjemahkan dalam kebanyakan program PASTI dan program-program amal yang lain. Di dalamnya mengandungi hikmah yang cukup besar yang mampu menzahirkan lagi semangat kekitaan dan mahabbah khususnya buat seluruh warga PASTI.


Namun dalam program kali ini ramai di kalangan AJK Pengurusan PASTI Kawasan Sandakan tidak dapat turun padang disebabkan halangan dan permasalahan yang tidak dapat dielakkan.


Mohon maaf kami hulurkan pada Mudir PASTI Zaid Bin Harithah yang agak kecewa dengan penyertaan saf AJK PASTI Kawasan Sandakan dalam program gotong royong ini.


Untuk membaca artikel penuh, suara hati dan gambar-gambar sekitar program gotong-royong tersebut, sila kunjungi blog Mudir PASTI Zaid Bin Harithah iaitu Sdr Nasharudin Abdullah di ;





Wednesday, February 4, 2009

Guru Cemerlang Lahirkan Anak Didik Gemilang


Golongan ilmuwan adalah aset sangat berharga kepada agama dan negara. Peranan mereka menjadi tanggungjawab penting bagi menyebarluaskan ilmu-ilmu Allah untuk melahirkan generasi berilmu, beriman, berakhlak mulia dan berdaya saing.


Mendidik manusia berilmu bukan perkara mudah kerana memerlukan usaha berterusan. Oleh itu, sewajarnya guru diberi penghormatan tinggi. Hal ini seperti firman Allah bermaksud:

“Allah meninggikan darjat orang yang beriman antara kamu dan (Allah meninggikan) orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat.” (Surah al-Mujaadalah, ayat 11)

Guru hendaklah mendidik murid dengan penuh semangat dan kesungguhan. Mereka juga perlu mengemaskinikan teknik pengajaran dan cara penyampaian ilmu yang berkesan semoga apa yang diajarkan akan meresap ke dalam jiwa dan sanubari murid. Dengan itu, mereka mudah memahami dan menerima segala pelajaran yang dipelajari.

Guru hendaklah berusaha menyesuaikan dirinya dengan semua pelajar di sekolahnya. Hal ini supaya segala ajarannya akan memberi kesan kepada semua murid. Imam Ghazali dalam kitabnya ‘Ihya Ulumuddin’ menyatakan, bahawa sifat guru itu menjadi berkesan dalam jiwa murid melalui tiga peringkat:

-Ilmu pengetahuan (pengetahuan seseorang mengenai sesuatu konsep).

- Penerangan yang mendalam terhadap konsep itu.

- Perubahan yang timbul hasil daripada ilmu yang diperoleh.

Guru cemerlang akan melahirkan anak didik gemilang. Ia terbukti Rasulullah SAW sendiri ialah seorang pendidik cemerlang hingga lahirlah pada zamannya sahabat yang hebat seperti Khulafa' Ar-Rasyidin, Abdul Rahman bin A'uf, Abu Hurairah dan Saad bin Abi Waqas.

Golongan guru atau ilmuwan juga pernah disebut oleh Rasulullah seperti bintang di langit yang menjadi penunjuk jalan bagi menerangi kegelapan di darat dan lautan. Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik bermaksud:

“Sesungguhnya perumpamaan orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini adalah seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk bagi menerangi kegelapan sama ada di darat atau lautan. Apabila ia terbenam atau hilang, dikhuatiri akan hilang arah petunjuk.”

Pembentukan adab dan budi pekerti juga perlu menjadi tunggak kepada setiap pendidik. Ia bagi memastikan budaya hormat-menghormati, kasih-mengasihi sesama manusia dan segala sifat yang terpuji diamalkan oleh generasi muda masa kini dan pada masa akan datang. Ibnu Khaldun sangat menekankan soal adab dan dalam mendidik peribadi manusia, sebagaimana sabda Rasulullah bermaksud:

“Muliakanlah anak kamu dan perelokkanlah budi pekerti mereka.”

Bagi mengangkat martabat pendidikan, kita hendaklah menghormati guru dan meletakkan mereka setaraf dengan ilmuan serta ahli profesional lain. Ia sesuai dengan pendekatan Islam Hadhari bagi melahirkan insan cemerlang, gemilang dan terbilang.

Untuk itu, hak pendidik dan ilmuwan perlu diingati, Saidina Ali Abi Talib mengatakan, bahawa hak orang alim ada tujuh iaitu:

- Jangan banyak bertanya dan bertanya apabila dia bersedia untuk menjawab.

- Jangan halang jika dia hendak berdiri.

- Jangan buka rahsia di hadapannya.

- Jangan mengumpat orang di hadapannya.

- Hormatlah dia kerana Allah.

- Jangan duduk membelakanginya.

- Jika ada keperluan lain, utamakanlah keperluannya.

Adalah menjadi tanggungjawab kita menjaga kemuliaan dan mengangkat martabat guru, sejajar dengan apa yang disebut oleh Islam iaitu:

- Memberi layanan baik dan beradab terhadap guru.

- Mengenang jasa mereka yang mendidik anak-anak kita.

- Menyebarkan sejarah kecemerlangan ulama dan ilmuwan dalam peradaban Islam.

- Menerbitkan buku dan risalah yang membicarakan ketokohan guru dan kemuliaannya.

- Sentiasa mendoakan guru dan bekas guru agar ditempatkan bersama solehin.

Justeru, marilah kita bersatu hati bersama guru dan menggembleng tenaga bagi menyemai benih keimanan dan ketakwaan supaya terbentuk sebuah negara maju dan cemerlang yang mendapat keredhaan Allah.


.

Tuesday, January 20, 2009

7 Formula Ibubapa Cemerlang

Oleh: Dr Danial Zainal Abidin


MENGUASAI ILMU DAN HIKMAT

Dalam surah Luqman ayat 12, Allah menjelaskan bahawa Luqman telah dikurniakan hikmat. Imam Ibn Kathir mentafsirkan hikmat sebagai ‘kefahaman, ilmu dan tadbir (iaitu pengurusan yang baik).’ Justeru ibu bapa perlu menguasai dan memahami ilmu, terutamanya ilmu agama berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah. Penguasaan ini perlu disusuli dengan pengurusan hidup yang baik. Tanpa ilmu dan kefahaman ibubapa menjadi seperti musafir yang berjalan tanpa peta.

MEMENTINGKAN IMAN DAN TAQWA

Berhubung dengan ini, Luqman menjelaskan, jika ada suatu benda yang kecil, seperti biji sawi, disembunyikan di langit, dalam bumi, dalam batu yang besar atau di tempat-tempat lain, Allah tetap mengetahuinya. Hal in disebut dalam surah Luqman ayat 16. Pendidikan Luqman ini bertujuan untuk melahirkan perasaan muraqabah, iaitu merasai bahawa Alah sentiasa melihat gelagat hamba-Nya di mana saja hamba itu berada. Jika perasaan ini menguasai hati seseorang, ia akan menjadi penasihat dan penyelamat bagi seseorang.


MEMELIHARA IBADAH

Antara ibadah yang perlu diutamakan ialah solat. Luqman menyuruh anaknya menegakkan solat. Menegakkan solat bermaksud bersolat secara berterusan dengan memelihara waktu-waktu dan tatacaranya, di samping mementingkan khusyuk ketika bersolat. Solat mempunyai pengaruh yang besar kepada anak-anak.


MEMELIHARA AKHLAK

Antara akhlak yang ditekankan dalam surah Luqman ialah bersikap tawadhuk dan tidak sombong ketika bergaul dengan manusia. Beliau juga mengingatkan anaknya agar bersederhana dalam hidup dan tidak meninggikan suara ketika bercakap. Akhlak yang mulia berkait rapat dengan iman seseorang.


BERSIKAP POSITIF DALAM UJIAN

Dalam konteks ini, surah Luqman ayat 17 mengingatkan anaknya kepentingan sabar dalam hidup. Sbar berkait rapat dengan sikap positif. Dengan penekanan ini anak-anak akan cekal mengharungi pancaroba dan liku-liku kehidupan. Anak-anak juga perlu diingatkan bahawa sabar adalah proses ke arah kejayaan.


MEMBINA KEMAHIRAN

Antara kemahiran yang dinyatakan dalam surah Luqman ialah komunikasi berkesan. Luqman menasihati anaknya secara terus tanpa rasa kekok. Ini menunjukkan bapa memainkan peranan yang amat penting dalam pendidikan anak-anak. Ketika memberi nasihat, Luqman menggunakan perumpamaan untuk memudahkan kefahaman. Ini menunjukkan Luqman mempunyai kemahiran berkomunikasi. Antara aspek penting yang perlu ada ketika berkomunikasi ialah kelembutan. Mengiku imam Ahmad dan Baihaqi, Nabi bersabda “Jika Allah menghendaki kebaikan bagi sesebuah keluarga diberikan sifat lemah lembut dalam keluarga itu”.


PEKA DAN BERPERANAN

Anak-anak perlu dididik agar berperanan dengan mengajak rakan-rakan mereka kepada makruf dan mencegah dari kemungkaran (ayat 17). Dengan nilai dan sikap ini, anak-anak tidak akan menjadi golongan yang terpengaruh sebaliknya menjadi golongan yang mempengaruhi.

Thursday, January 8, 2009

Nasyid - Doa Masuk Rumah

Pesanan untuk semua agar dijadikan amalan harian kita. Jadikan doa sebagai rutin harian agar diberi keberkatan dan perlindungan. InsyaAllah.

Sunday, January 4, 2009

Selamat Kembali ke PASTI

Ahlan wa sahlan... Selamat datang dan selamat memulakan pembelajaran di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) bagi adik-adik yang yang baru menjejakkan kaki di PASTI.

Dan selamat kembali bagi adik-adik Pra 1 (2008) bagi menyambung dan meneruskan pembelajaran di PASTI masing-masing.

Budayakan amalan berdoa sebelum memulakan pelajaran adik-adik.
Semoga diberkati oleh-Nya. InsyaAllah.