Wednesday, November 18, 2009

Konvokesyen PASTI Zon Sandakan kali ke 20

SANDAKAN, 15 NOVEMBER 2009 - Seramai 184 murid PASTI Zon Sandakan telah menerima sijil konvokesyen pada Majlis Konkovesyen kali ke 20 yang dirasmikan oleh Tuan Haji Hamzah Abdullah, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah di Dewan SM Yu Yuan di sini.

Tuan Haji Hamzah menyampaikan ucapan

Dalam ucapan perasmian, beliau telah mengulas isu bai'ah talak 3 yang dijalankan oleh pimpinan PAS bagi menyekat wakil Rakyat PAS melompat parti. Menurutnya, isu itu merupakan isu murahan dan tindakan terdesak pimpinan Barisan Nasional setelah melihat istiqamahnya ADUN dan MP PAS dalam memperjuangkan hasrat parti. Menurutnya lagi, telah terbukti Barisan Nasional gagal mempengaruhi dan membeli ADUN dan MP PAS sekalipun dengan habuan jutaan ringgit.

Hamzah juga menegaskan bahawa usaha yang dijalankan oleh PASTI di seluruh Malaysia merupakan satu usaha bagi mendidik anak bangsa daripada memiliki sifat dan peribadi yang negatif. Di PASTI, anak-anak akan dididik dengan pelbagai ilmu asas agama seperti menghafaz, doa, adab-adab dan sebagainya.

Sementara itu, Adik Nur Alifah Ilyana Bt Sohadi, PRA 1 dan Adik Najla Maisarah Bt Dollah, PRA 2 telah dianugerahkan sebagai Murid Cemerlang bagi kategori masing-masing. Anugerah ini diberikan kepada murid yang mendapat markah terbaik dalam Peperiksaan Saidina Ali.

Dalam majlis yang melibatkan PASTI Kawasan Sandakan, Libaran, Batu Sapi dan Kinabatangan ini, seramai 4 orang alumni murid PASTI telah menerima anugerah cemerlang UPSR. Murid-murid ini merupakan antara graduan PASTI pada tahun 2003 yang mendapat keputusan 5 A dan 4A 1B dalam peperiksaan UPSR baru-baru ini. Ia merupakan suatu kebanggaan bagi PASTI Zon Sandakan yang menjadi pendidik kepada mereka sejak 7 tahun yang lalu.

Antara Alumni PASTI yang menerima anugerah

Selain itu, Majlis Konvokesyen kali ini turut meyediakan anugerah lain seperti Anugerah Murid Terbaik Setiap PASTI, Anugerah Ibu Bapa Prihatin, Anugerah Khas JIBG, Anugerah PASTI Ceria dan Anugerah Khidmat Bakti.

En Mohd Hanapi antara penerima Anugerah Ibu Bapa Prihatin

Majlis telah berakhir pada 12 tengahari dengan penyampaian Sijil Konvokesyen oleh Tuan Haji Hamzah kepada para graduan PASTI Zon Sandakan.

Salah seorang graduan PASTI Sandakan

No comments: