Wednesday, November 19, 2008

FALSAFAH PENDIDIKAN PASTI


Pendidikan PASTI merupakan satu usaha bersepadu dan berterusan ke arah melahirkan generasi tunas Islam yang unggul dari aspek sahsiah, keilmuan dan amalan-amalan yang bertunjangkan kepada ISLAM, IMAN dan IHSAN. Mengambil kira potensi dan bakat yang sedia ada, pendidikan PASTI berusaha mengembangkan kemahiran kognitif, piskomotor, bahasa sosio-emosi dan sosial selain kepelbagaian bakat serta kecerdasan yang sedia terpupuk dalam diri tunas Islam. Usaha-usaha PASTI menerusi pembentukan peribadi unggul ini bertujuan mempersiapkan diri mereka agar menjadi warga yang mengamalkan cara hidup Islam yang diredhai oleh Allah S.W.T di dunia dan di akhirat.


MATLAMAT PENDIDIKAN PASTI

Matlamat Am

1. Mengembalikan fahaman masyarakat umum kepada pentingnya pendidikan Islam dan merangsang kepekaan kebangkitan Islam sejagat.

2. Mengadakan pendidikan awal ( Pra Sekolah ) bagi melahirkan insan yang beriman,
berilmu, beramal soleh dan berakhlak mulia.

3. Menyediakan wadah awal suatu uslub untuk pendidikan berorientasikan
harakah Islamiyyah untuk jangka masa panjang.

4. Menjadi pusat untuk membentuk fikrah masyarakat yang sedang mengalami dan menghadapi keruntuhan aqidah dan akhlak akibat dari serangan ideologi sekular dan kebendaan.

5. Menyedarkan masyarakat umum tentang hakikat tarbiyyah Islamiyyah
beristiqamah dan beriltizam dengan Islam.


Matlamat Khas

1. Menyedar dan meningkatkan kesempurnaan Tauhid agar beramal dengan setiap kebaikan yang diredhai Allah dan RasulNya dan meninggalkan setiap kemungkaran yang
dimurkai Allah s.w.t.

2. Membentuk peribadi insan agar mencontohi peribadi mulia Rasulullah S.A.W.

3. Memberi galakan kepada kanak-kanak secara intensif agar mereka dapat menjiwai fikrah kelahiran manusia dan memperhamba dan mengabdikan diri hanya kepada Allah dan kehidupannya bermatlamatkan keredhaan Allah.

4. Memberi kesedaran betapa pentingnya bahasa sebagai alat komunikasi dalam kehidupan harian merintis ke arah pendidikan asas penguasaan bahasa terutama bahasa Al-Quran.